Alumni KAAR 2022, Izat Arif (kiri) dan Winnie Cheng (kanan). - FOTO Khazanah

30 Aug 2022

Seniman muda serlah potensi seni

KUALA LUMPUR: Kesenian, warisan dan ruang awam memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Ia membentuk teras yang mentakrifkan manusia, daripada pelbagai jenis hiburan yang dinikmati hingga ke tempat riadah yang dipilih ketika masa lapang.

Oleh itu, menghargainya sebagai sebahagian daripada identiti negara adalah kunci untuk memastikan ia berkembang maju sepanjang zaman sekali gus dapat dinikmati generasi akan datang.

Menyedari hakikat keperluan kepada masyarakat, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) turut memberi tumpuan khusus terhadap seni melalui beberapa inisiatif program, bagi memastikan seni dan kemahiran yang bernilai dikongsi bersama generasi muda agar ia sentiasa dipelihara.

Ini adalah selari dengan satu tumpuan utama Khazanah di bawah strategi Memajukan Malaysia, iaitu untuk membina kapasiti dan masyarakat berdaya untuk manfaat rakyat Malaysia.

Khazanah mula mengumpulkan karya seni yang dihasilkan penggiat seni Malaysia secara berperingkat sejak penubuhannya pada 1994.

Melalui pelancaran galeri mayanya, Galeri Khazanah, Khazanah berhasrat untuk memelihara dan memulihara permata bersejarah ini bagi membolehkan masyarakat sejagat mendapat pendedahan mengenai warisan budaya kita melalui perspektif penggiat seni tempatan.

Selain itu, Program Residensi Khazanah (KRP) juga bertujuan membangunkan bakat muda tempatan dalam bidang terpilih, mempersiapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian terkini dalam bidang masing-masing.

Program dipilih daripada residensi, ‘fellowship’ atau kursus jangka pendek yang dikendalikan institusi tersohor seluruh dunia.

Ia adalah program ditaja sepenuhnya yang mana selepas tamat, peserta dikehendaki menyumbang kembali dalam pelbagai cara untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Seorang daripada peserta Program Residensi Artis Bersekutu Khazanah Nasional (KAAR), Izat Arif, 36, berkata program itu memberi peluang kepada seniman muda untuk mendalami dan meneruskan penyelidikan yang berkaitan dengan praktis seni mereka.

Perluas jaringan seni

Katanya, yang juga alumni KAAR 2022, ia sebagai pembuka jalan untuk meluaskan jaringan seni dengan penggiat seni antarabangsa.

“Program ini sangat memberi masa, ruang dan sokongan terutama kepada penggiat seni tempatan.

“Jika dibandingkan dengan tempoh bekerja luar residensi, kadang kala seniman terpaksa bekerja untuk kelangsungan hidup, melalui residensi ini seniman dapat ambil masa untuk bekerja sepenuhnya pada karya dan praktis masing-masing,” katanya yang berpeluang menjalani latihan dan praktis residensi di Acme Studios, London selama tiga bulan.

Hasil seni Izat: You Gotta Fight For Your Right To Party (No. 19) – FOTO Khazanah

Izat yang mempamerkan hasil karya seni You Gotta Fight For Your Right to Party (No.19) pada KAAR, berkata impak program itu cukup besar dalam kehidupannya sebagai penggiat seni.

“Sebagai penggiat seni muda dan anak tempatan, perasaan dipilih sebagai peserta dan alumni KAAR adalah cukup luar biasa.

“Impaknya adalah daripada segi sokongan memandangkan seni kreatif bukan mudah untuk diterokai apatah lagi masih ramai yang melihat bidang ini masih asing di mata mereka.

“Hakikatnya, dunia seni perlukan banyak sokongan terutama daripada segi dana untuk seniman terus berkarya.

“Peluang yang diberikan sebagai artis di bawah KAAR memberi lebih ramai seniman meneruskan minat seterusnya mengembangkan bakat tempatan yang sememangnya berbakat namun masih tidak diberikan kesempatan,” katanya.

Sementara itu, alumni KAAR 2018, Winnie Cheng berkata, walaupun sudah hampir lima tahun terpilih sebagai artis residensi KRP, segala kenangan dan pengalaman di London masih segar dalam ingatannya.

Katanya, program itu memberi impak penggiat seni tempatan sepertinya apabila dapat merasai acara seni yang dijalankan termasuklah lawatan muzium seni dan studio artis terkenal.

“Banyak perkara yang saya pelajari dan melalui aktiviti perkongsian idea serta ilmu baharu, ia meluaskan pandangan mengenai seni daripada negara luar.

“Saya berasa bersyukur kerana sebuah organisasi seperti Khazanah telah memberi tumpuan kepada seni halus dan kreatif di Malaysia. Sebagai penggiat seni tempatan, saya amat berharap usaha ini dapat terus berkembang dan mencungkil bakat bagi memastikan industri seni dan kreatif negara terus berjaya,” katanya.

Hasil seni Winnie: The Dragon’s Servant – FOTO Khazanah

Winnie yang juga seorang penganalisis berkongsi pengalaman cukup membanggakan apabila menjadi sebahagian daripada pameran berkumpulan Tu7oh yang diadakan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Bagi saya, pameran itu adalah kemuncak kejayaan daripada pengalaman diterokai ketika menjadi peserta KRP yang mana pameran solo pertama saya, bertajuk Mirror Mirror.

“Untuk pameran ini, saya meneroka refleksi cerita yang sama tetapi bahagian yang berbeza. Ia mendapat sambutan yang sangat baik. Saya mempamerkan tujuh karya seni dalam pameran itu dan hampir semuanya telah habis dijual. Terima kasih kepada rakan kurator saya.

“Pameran akan datang adalah di Kuala Lumpur September ini. Pastinya saya cukup teruja,” katanya yang mengakui berdepan dengan cabaran dalam kerjaya seninya kerana melakukannya hanya pada hujung minggu.

Untuk rekod, KRP menawarkan empat program dibawah inisiatif itu iaitu Residensi Media, Residensi Seni, Residensi Reka Bentuk dan Residensi Perkhidmatan Awam.

Sehingga Januari 2022, seramai 42 bakat tempatan telah menerima manfaat melalui program residensi itu.

Program KAAR yang dilaksanakan dengan kerjasama Acme Studios, London bertujuan untuk mendedahkan penggiat seni di Malaysia kepada arena seni antarabangsa seterusnya mengembangkan pengalaman, hasil karya dan hubungan mereka di seluruh dunia selain memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk mencuba idea dan menghasilkan karya baharu.

Peroleh pengalaman di London

Setakat ini, lapan penggiat seni yang menyertai residensi seni ini memperoleh pengalaman sekali seumur hidup di London dan berpeluang mempamerkan karya mereka di beberapa pameran yang dianjurkan.

Dilancarkan pada 2017, tujuan KAAR untuk memberi peluang kepada penggiat seni Malaysia yang sedang menempa nama dalam bidang seni halus untuk menimba ilmu dan pengalaman menerusi program residensi seni untuk tempoh 12 minggu di Acme Studios, London.

Setiap tahun, di bawah program itu seramai dua penggiat seni diberikan kemudahan tempat tinggal dan ruang untuk berkarya yang praktikal dan selamat serta dibimbing penggiat seni dan pembangunan profesional.

Antara penggiat seni yang telah mendapat manfaat daripada program itu adalah Raja Azeem Idzham Raja Azaham , Helmi Azam Tajul Aris masing-masing alumni 2017, Haffendi Anuar (2018); Amirulsyafiq atau Tomi Heri (2019); Zulkifli Lee (2019) dan Yeoh Choo Kuan (2022).

Khazanah kini dalam proses untuk memilih dua lagi penggiat seni untuk mengikuti KAAR pada tahun 2023 yang bakal bermula pada bulan Januari depan.

Maklumat lanjut mengenai KAAR boleh didapati di https://www.khazanah.com.my/our-community/khazanah-residency-programme/.

Orang awam yang ingin menyaksikan hasil kerja penggiat seni KAAR serta ramai lagi penggiat seni lain boleh berkunjung ke pameran mini Galeri Khazanah bertajuk ‘Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah’ di Slate, The Row, bermula 25 Ogos sehingga 4 September ini bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Dengan hanya satu klik, orang awam turut boleh menyaksikan 57 karya seni moden dan kontemporari yang dihasilkan 29 penggiat seni Malaysia (pilihan dari pelbagai generasi) di lima ruang realiti maya yang bertemakan – Lobi, Rumah Tradisional, Peranakan, Pavilion dan Bilik Berkaca melalui https://galeri.khazanah.com.my/.