Sultan Nazrin turut meraikan kemunculan penggiat seni muda yang membawa perspektif segar interpretasi baharu dan gaya inovatif dalam karya masing-masing, yang turut menggambarkan evolusi jiwa negara. - Gambar fail/BERNAMA
24 Aug 2022
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melancarkan Galeri Khazanah pada Rabu, iaitu galeri seni maya yang menampilkan 57 karya seni yang dihasilkan 29 penggiat seni dan boleh dikunjungi peminat seni tempatan dan antarabangsa.
Galeri itu memilih tema ‘Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah’ sempena bulan kemerdekaan, dengan menampilkan karya yang merakamkan kisah Malaysia melalui perjalanan masa sejak 1960-an sehingga kini.
Sempena pelancaran itu, Khazanah turut menganjurkan pameran seni mini selama 11 hari bermula esok, yang menampilkan 28 karya dihasilkan 27 penggiat seni di Slate @ The Row, di sini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan pelancaran Galeri Khazanah dan pameran seni mini itu, hari ini.
Dalam titah ucapan perasmian, baginda menyifatkan karya seni yang dipersembahkan dalam galeri dan pameran seni mini itu sebagai jendela ke dalam jiwa negara, serta masa silam dan sejarah dan evolusi Malaysia sejak puluhan tahun lalu.
Baginda juga menyifatkan inisiatif galeri seni maya melalui Galeri Khazanah sebagai ‘pendemokrasian seni’, yang membolehkan karya seni diakses secara lebih berkesan, berbanding akses terhad pada karya yang ditempatkan di muzium, galeri, pejabat korporat dan kediaman peribadi pengumpul karya seni.
“Potensi pendemokrasian seni boleh terus dikembangkan. Kemajuan teknologi membolehkan lebih ramai individu bukan saja melihat karya seni secara dalam talian, malah mempersembahkan karya mereka kepada penonton yang lebih luas secara maya.
“Galeri maya seperti Galeri Khazanah, memudahkan pembabitan penggiat seni yang kurang ternama, serta penyumberan seni dari lokasi yang lebih pelbagai, sekali gus membantu menjadikan domain seni lebih inklusif dan mudah diakses.
“Pemilihan karya seni yang lebih meluas akan menyediakan pengajaran dan maklumat penting tentang sejarah kita, serta mengenai evolusi jiwa negara kita,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menzahirkan penghormatan kepada beberapa penggiat seni negara, antaranya Pak Latiff Mohidin, Datuk Sharifah Fatimah, Yusof Ghani, Jalaini Abu Hassan dan Ahmad Zakii Anwar, yang mana karya dihasilkan mengisahkan sejarah dan evolusi negara.
Baginda turut meraikan kemunculan penggiat seni muda yang membawa perspektif segar interpretasi baharu dan gaya inovatif dalam karya masing-masing, yang turut menggambarkan evolusi jiwa negara.