Kuala Lumpur, 18 Dec 2022
Dua artis tempatan yang kian meningkat naik terpilih untuk mengikuti Program Residensi Artis Bersekutu Khazanah Nasional (KAAR) selama tiga bulan di Acme Studios (Acme), London bermula 9 Jan 2023.
Mereka yang dipilih sebagai peserta kohort 2023 bagi program pembangunan diri dan peningkatan kemahiran seni di bawah inisiatif Program Residensi Khazanah (KRP) itu ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Dalam Lukisan dan Seni Gunaan University of the West of England Mark Tan, dan lulusan Akademi Seni Halus Nanyang, Singapura Joshua Kane Gomes.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Khazanah Nasional Berhad hari ini, Pengarah Urusannya Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata program pembangunan seperti itu diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan intelek dalam kalangan penggiat seni melalui pembangunan kreatif, pendedahan kepada idea baharu dan aktiviti wacana.
“KAAR menyediakan bakat tempatan dengan pendedahan antarabangsa bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai kecemerlangan dalam kerjaya, seterusnya berkembang menjadi peneraju pemikiran dalam bidang mereka.
“Sekembalinya ke tanah air, mereka diamanahkan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui penyampaian ilmu praktikal yang dikumpul sepanjang residensi mereka kepada generasi artis seterusnya, memperkayakan persada seni tempatan dengan kreativiti dan kualiti lebih tinggi serta menjana kepelbagaian intelek,” katanya.
Sementara itu, Mark berkata peluang itu ialah satu penghormatan kepadanya kerana terpilih sebagai penerima KAAR kerana beliau dapat mengembangkan amalan seninya terutama dalam bidang seni cetakan.
Joshua pula berharap dapat menyemarakkan serta menyumbang kepada persada seni tempatan melalui perkongsian ilmu yang akan diperolehnya pada program itu nanti.
Penyertaan Mark dan Joshua menandakan tahun kelima residensi seni itu diadakan dengan sejumlah 10 artis Malaysia yang kian meningkat naik menerima sokongan sehingga kini.
KAAR yang dilancarkan pada 2017 menyediakan penginapan studio sebagai tempat kerja atau tempat tinggal yang selamat, praktikal dan program sokongan artis serta pembangunan profesional kepada peserta terpilih.
Program itu adalah antara inisiatif di bawah KRP yang menyokong anak muda Malaysia yang cemerlang dalam disiplin terpilih melalui perkembangan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian dalam bidang masing-masing.
Menurut Khazanah, Acme telah diasaskan oleh artis untuk menyokong artis lain pada 1972 dan setiap residensi disesuaikan dengan keperluan individu artis, memberikan mereka masa untuk menyelidik, membina jaringan dan menumpukan kepada penghasilan karya seni baharu dalam persekitaran yang disokong sepenuhnya.
— BERNAMA