10 September 2025 – 9 Mac 2026

Peralihan Landskap

Memeta Ruang, Masa dan Memori
Mengenai
Pameran
Seni Maya

Peralihan Landskap: Memeta Ruang, Masa dan Memori menandakan edisi keenam pameran maya Galeri Khazanah dan merupakan yang paling penting setakat ini. Pameran hibrid ini berlangsung merentasi alam maya dan pengaktifan fizikal yang bertempat di bangunan bersejarah Seri Negara di Carcosa.

Asalnya dibina pada tahun 1913 sebagai King’s House, Seri Negara di Carcosa telah menjadi saksi senyap kepada detik-detik penting dalam pembentukan negara Malaysia. Disinilah pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada tahun 1948 dan Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada tahun 1957.

Setelah kerja pemuliharaan yang teliti, bangunan ini kini menempatkan sebahagian karya daripada pameran maya, membolehkan pengunjung menghayati seni Malaysia dalam ruang yang sarat nilai sejarah kebangsaan.

Format hibrid ini mengundang khalayak untuk mengalami pameran menerusi dua cara yang saling berkait—secara dalam talian melalui platform maya berpandu yang memaparkan 35 karya seni moden dan kontemporari, dan secara fizikal di lokasi, di mana karya pilihan yang diatur dalam ruang yang berjiwa sejarah.

Pameran ini memetakan perjalanan Malaysia melalui tiga lengkok naratif yang saling bertaut:

Ruang: bertindak balas terhadap perubahan topografi dan identiti yang sentiasa berubah,
Masa: bayangan masa depan berasaskan realiti waktu lalu dan kini,
Memori: penghargaan terhadap warisan, kenegaraan, dan pengalaman kolektif.

Disusun dalam lima bilik maya bertema—Bilik Kaca, Pavilion, Bilik Peranakan, Rumah Tradisional, dan Lobi—setiap ruang maya menyajikan lensa berbeza terhadap kesedaran budaya Malaysia yang sentiasa berkembang.

Di Seri Negara, naratif ini dizahirkan dalam bentuk nyata. Di sinilah masa silam dan kini bersilang, menawarkan perjalanan renungan menerusi bahasa visual seni.

Gabungan pengalaman maya dan fizikal ini merentasi generasi, ruang dan impian—mengingatkan kita bahawa seni bukan sekadar cerminan masyarakat, malah jambatan untuk membayangkan semula dunia kita.