Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menyaksikan antara karya yang dipamerkan ketika Majlis Perasmian Galeri Khazanah di Slate @ The Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

24 Ogo 2022

Galeri seni maya Khazanah pamer evolusi, perjalanan Malaysia sejak 1960-an

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melancarkan Galeri Khazanah hari ini, iaitu galeri seni maya yang menampilkan 57 karya seni yang dihasilkan 29 penggiat seni dan boleh dikunjungi peminat seni tempatan dan antarabangsa.

Galeri itu memilih tema ‘Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah’ sempena bulan kemerdekaan, dengan menampilkan karya yang merakamkan kisah Malaysia melalui perjalanan masa sejak 1960-an sehingga kini.

Antara karya seni yang ditampilkan termasuk yang dihasilkan Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Ibrahim Hussein, Khalil Ibrahim, Latiff Mohidin, Datuk Sharifah Fatimah, Yusof Ghani, Ahmad Zakii Anwar, Jalaini Abu Hassan, Anurendra Jegadeva, Kow Leong Kiang, Yee I-Lann, Fauzul Yusri, Liew Kung Yu dan Haffendi Anuar.

Sempena pelancaran itu, Khazanah turut menganjurkan pameran seni mini selama 11 hari bermula esok, yang menampilkan 28 karya dihasilkan 27 penggiat seni di Slate @ The Row, di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan pelancaran Galeri Khazanah dan pameran seni mini itu, hari ini.

Dalam titah ucapan perasmian, baginda menyifatkan karya seni yang dipersembahkan dalam galeri dan pameran seni mini itu sebagai jendela ke dalam jiwa negara, serta masa silam dan sejarah dan evolusi Malaysia sejak puluhan tahun lalu.

Baginda juga menyifatkan inisiatif galeri seni maya melalui Galeri Khazanah sebagai ‘pendemokrasian seni’, yang membolehkan karya seni diakses secara lebih berkesan, berbanding akses terhad pada karya yang ditempatkan di muzium, galeri, pejabat korporat dan kediaman peribadi pengumpul karya seni.

“Potensi pendemokrasian seni boleh terus dikembangkan. Kemajuan teknologi membolehkan lebih ramai individu bukan saja melihat karya seni secara dalam talian, malah mempersembahkan karya mereka kepada penonton yang lebih luas secara maya.

“Galeri maya seperti Galeri Khazanah, memudahkan pembabitan penggiat seni yang kurang ternama, serta penyumberan seni dari lokasi yang lebih pelbagai, sekali gus membantu menjadikan domain seni lebih inklusif dan mudah diakses.

“Pemilihan karya seni yang lebih meluas akan menyediakan pengajaran dan maklumat penting tentang sejarah kita, serta mengenai evolusi jiwa negara kita,” titah baginda.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir serta penggiat seni yang menampilkan karya masing-masing falam pameran seni mini itu.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghormatan kepada beberapa penggiat seni negara, antaranya Pak Latiff Mohidin, Datuk Sharifah Fatimah, Yusof Ghani, Jalaini Abu Hassan dan Ahmad Zakii Anwar, yang mana karya dihasilkan mengisahkan sejarah dan evolusi negara.

Baginda turut meraikan kemunculan penggiat seni muda yang membawa perspektif segar interpretasi baharu dan gaya inovatif dalam karya masing-masing, yang turut menggambarkan evolusi jiwa negara.

“Apabila kita menghargai keseluruhan spektrum artis kita, daripada yang lama dan ternama sehinggalah yang muda dan baharu muncul, kita melihat bagaimana seni bukan saja jendela ke dalam jiwa negara, tetapi juga sebagai satu bentuk sejarah, seperti mana arkeologi dan artifak serta buku dan teks.

“Kita perlu memastikan peluang mencukupi untuk penggiat seni muda mengembangkan bakat dan diri, seperti yang ditawarkan Program Residensi Khazanah (KRP),” titah baginda.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi Galeri Khazanah secara dalam talian menerusi laman sesawang galeri.khazanah.com.my.

Pameran mini ‘Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah’ pula dibuka kepada umum bermula esok hingga 4 September depan dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari, secara percuma.