15 Januari 2025 - 15 Jun 2025

Menganyam Kesinambungan

Warisan Kita
Mengenai
Pameran
Seni Maya

Pameran maya kelima Galeri Khazanah ialah penerokaan kesinambungan, kepelbagaian dan negara yang berdaya tahan yang menawan melalui rangkaian 33 karya seni yang menarik oleh 21 penggiat seni Malaysia, masing-masing dengan cerita dan perspektifnya yang unik.

Menganyam Kesinambungan: Warisan Kita merupakan pameran seni maya moden dan kontemporari Malaysia yang menerokai jalinan naratif kesinambungan, kepelbagaian dan identiti kolektif.

Menampilkan karya terpilih daripada koleksi Khazanah yang merangkumi pelbagai media – fotografi, cetakan digital, arca, lakaran dan lukisan – pameran maya ini bertujuan untuk menggambarkan bagaimana individu, budaya dan komuniti sama-sama membentuk fabrik masyarakat yang bertenaga dan pelbagai rupa.

Melalui lensa bentuk seni yang pelbagai ini, pameran maya meneliti pengalaman manusia yang dikongsi dan meraikannya dengan ceria, sekaligus menjadikan penonton berasa sebahagian daripada naratif yang lebih besar ini. Pameran maya ini juga menyerlahkan benang identiti tersendiri yang, apabila dijalin, mencipta kisah kolektif daya tahan, kemajuan dan keharmonian.

Metafora fabrik tenunan berada di tengah-tengah Menganyam Kesinambungan, di mana setiap utas mewakili manusia, budaya atau pengalaman yang berbeza. Individu dan komuniti menyumbang kepada identiti bersama negara kerana satu utas membentuk keseluruhan yang lebih kukuh dan lebih indah. Pameran maya ini mendalami bagaimana naratif peribadi dan kolektif bersilang, bagaimana perbezaan memperkayakan masyarakat, dan bagaimana perpaduan muncul bukan melalui persamaan tetapi melalui gabungan kepelbagaian, menjemput penonton untuk melibatkan diri dalam penerokaan introspektif ini.

Karya-karya seni yang dipaparkan memulakan dialog visual interaktif antara tradisi dan kemodenan, ingatan peribadi dan sejarah kolektif, identiti individu dan budaya bersama. Daripada ekspresi abstrak kepada gambaran intim warisan budaya, pameran ini secara aktif menjemput penonton untuk mempertimbangkan sifat masyarakat yang semakin berkembang, jalinan yang mengikat kita bersama, dan keindahan dalam perbezaan kita. Artis pilihan termasuk Allahyarham Mustapa Ibrahim, Allahyarham Ismail Hashim, Raja Azhar Idris, Raja Shahriman Raja Aziddin, Soraya Yusof Talismail, Yee I-Lann dan ramai lagi.

Disusunatur oleh perunding seni Malaysia Sarah Abu Bakar dan direka oleh firma seni bina Malaysia Fei Architect, dan difoto oleh Wesley Wong dari Giclee Art Sdn Bhd, Galeri Khazanah terdiri daripada lima ruang realiti maya bertema Bilik Kaca, Pavilion, Peranakan, Rumah Tradisional dan Lobi.

Konsep reka bentuk tersebut berpaksikan dalam tema identiti nasional bagi melengkapkan pendekatan kuratorial asal iaitu untuk meraikan Malaysia.

Pengasas dan pengetua Fei Architect, Ar. Lam Shen Fei, yang mengambil bahagian dalam Khazanah Design Residency 2019, menyifatkan tujuan reka bentuk sebagai “…melihat semula seni bina, dalaman dan landskap untuk menggambarkan gaya seni bina Malaysia, sambil mengambil kira bahawa galeri dalam talian akan diakses oleh warga asing, ahli akademik, peminat seni dan pelajar. Gaya sedemikian adalah penting untuk mencipta naratif yang memberikan kesan semasa lawatan maya. Niat ini mengubah latar belakang ruang kosong putih di mana-mana galeri seni Barat.”

Projek ini juga adalah untuk mengenang ahli pasukan utama, Allahyarham Mohd Suhaimi Ahmad seorang penasihat seni independen dan kolektor seni yang telah pulang ke Rahmatullah pada bulan November 2021.