April 2024 - Oktober 2024

Harmoni dan Kontras

Menghormati Masa Lalu, Meraikan Masa Kini, Membina Masa Depan yang Gemilang
Mengenai
Pameran
Seni Maya

Pameran maya keempat Galeri Khazanah, Harmoni dan Kontras: Menghormati Masa Lalu, Meraikan Masa Kini, Membina Masa Depan yang Gemilang, menampilkan 46 karya seni oleh 21 artis-artis Malaysia yang merangkum sifat kompleks kehidupan yang ditafsirkan melalui arca, fotografi dan lukisan yang diungkap secara visual.

Harmoni dan Kontras merupakan konsep yang sering digunakan dalam seni visual, reka bentuk dan estetika. Dalam seni visual, harmoni merujuk kepada susunan unsur-unsur untuk mewujudkan satu keseluruhan yang bersatu dan menyenangkan dari segi estetika. Ia melibatkan rasa keseimbangan, kesepaduan, dan perpaduan. Warna, bentuk dan elemen reka bentuk lain saling melengkapi, menghasilkan komposisi yang harmoni.

Kontras melibatkan penggabungan elemen yang berbeza untuk perbezaan yang menyerlah, termasuk perbezaan dalam warna, bentuk, saiz, tekstur atau sebarang atribut visual yang lain. Kontras menambah kepelbagaian dan minat pada komposisi, menjadikan elemen tertentu menonjol berbanding yang lain.

Dalam fotografi atau penceritaan visual, Harmoni dan Kontras membayangkan keseimbangan antara elemen yang berfungsi dengan baik bersama-sama sambil menggabungkan elemen yang menonjol dengan jelas. Ia mencadangkan pendekatan yang bernuansa dan menarik secara visual untuk merakam detik atau adegan.

Antara para karyawan yang ditampilkan buat pertama kali di Galeri Khazanah ialah jurugambar veteran Hari Ho, SC Shekar dan juga artis mapan Soraya Yusof Talismail dan Wong Hoy Cheong, pengarca terkemuka Raja Shahriman Raja Aziddin, dan artis kontemporari Mohd Fazli Othman dan Ruzzeki Harris.

Temui karya seni yang memukau oleh Datuk Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Long Thien Shih, Mad Anuar Ismail, Dr Zakaria Ali, Abdul Multhalib Musa, Nadiah Bamadhaj dan banyak lagi.

Dikurasi oleh perunding seni Malaysia Sarah Abu Bakar dan direka oleh firma seni bina Malaysia Fei Architect, dan difoto oleh Wesley Wong dari Giclee Art Sdn Bhd, Galeri Khazanah terdiri daripada lima ruang realiti maya bertema Pavilion, Bilik Kaca, Lobi, Rumah Tradisional dan Peranakan.

Konsep reka bentuk tersebut berpaksikan dalam tema identiti nasional bagi melengkapkan pendekatan kuratorial asal iaitu untuk meraikan Malaysia.

Pengasas dan pengetua Fei Architect, Ar. Lam Shen Fei, yang mengambil bahagian dalam Khazanah Design Residency 2019, menyifatkan tujuan reka bentuk sebagai “…melihat semula seni bina, dalaman dan landskap untuk menggambarkan gaya seni bina Malaysia, sambil mengambil kira bahawa galeri dalam talian akan diakses oleh warga asing, ahli akademik, peminat seni dan pelajar. Gaya sedemikian adalah penting untuk mencipta naratif yang memberikan kesan semasa lawatan maya. Niat ini mengubah latar belakang ruang kosong putih di mana-mana galeri seni Barat.”

Projek ini juga adalah untuk mengenang ahli pasukan utama, Allahyarham Mohd Suhaimi Ahmad seorang penasihat seni independen dan kolektor seni yang telah pulang ke Rahmatullah pada bulan November 2021.