Kolaborator

Malaysian Philharmonic Orchestra

Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) telah membuat persembahan sulung di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 17 Ogos 1998. Dengan objektif untuk mencari pemuzik yang berbakat, uji bakat telah diadakan di seluruh pelosok dunia. Hasilnya, MPO pada hari ini adalah sebuah orkestra simfoni yang terdiri daripada pemuzik berbakat dari seluruh Malaysia dan juga pelbagai negara. Orkestra ini adalah satu contoh terbaik yang mempamerkan keharmonian antara pelbagai budaya dan bangsa.

Dengan setiap musim baru, MPO terus menyajikan program orkestra menarik yang merangkumi karya-karya yang lebih dari tiga abad lamanya serta pelbagai siri konsert yang menghiburkan orang ramai. MPO adalah orkestra serba boleh yang mampu memainkan pelbagai genre muzik, dari karya agung muzik klasikal sehingga muzik daripada filem, pop, jazz, tradisional, kontemporari dan karya-karya yang ditugaskan.

Antara artis-artis terkenal Malaysia yang telah berkerjasama bersama MPO termasuk SM Salim, Sheila Majid, M Nasir, Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Khadijah Ibrahim, Ramli Sarip, Ella, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Aishah, Jaclyn Victor, Aubrey Suwito, Akim dan Sean Ghazi.

Ramai pemuzik-pemuzik terkenal antarabangsa yang telah membuat persembahan bersama MPO seperti Lorin Maazel, Sir Neville Marriner, Yehudi Menuhin, Joshua Bell, Harry Connick Jr., José Carreras, Andrea Bocelli, Dame Kiri Te Kanawa, Vladimir Ashkenazy, Chris Botti, Branford Marsalis dan Judika. Kebanyakan pemuzik yang telah berkerjasama dengan MPO memuji persembahan MPO yang berkualiti tinggi dan penuh bertenaga.

MPO juga kerap melakukan persembahan lawatan ke bandar-bandar utama di Malaysia seperti di Alor Setar, George Town, Ipoh, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu, Kuching dan banyak lagi. Di peringkat antarabangsa pula, MPO telah membuat persembahan lawatan ke Singapura (1999, 2001, 2003, 2005 dan 2018), Jepun (2001, 2009 dan 2017), Korea Selatan (2001), Australia (2004), China (2006 and 2019), Taiwan (2007) dan Vietnam (2013). MPO juga telah mengeluarkan sejumlah 21 album muzik.

MPO kekal teguh dalam misinya untuk menjadi orkestra ‘premier’ Malaysia, memberikan pengalaman muzik yang terbaik melalui persembahan muzik secara langsung yang mendidik, menghiburkan dan memberi inspirasi. Penyumbang utama MPO adalah PETRONAS dan penaungnya ialah YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Haji Mohd Ali.

Untuk maklumat terkini mengenai MPO, sila layari laman web http://www.mpo.com.my atau media sosial MPO (Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok).

Galeri Khazanah (Pameran 1)

Lenggang Mak Limah

Komposer: Abu Kassim
Penulis Lirik: Kamali Hudi
Penyusun: Ahmad Muriz Che Rose

Versi awal lagu ini dirakam oleh penyanyi Indonesia Bing Slamet dan dipaparkan dalam LP Semalam di Malaysia 1960-an, sebuah album duet dengan Tan Sri P. Ramlee. Pada tahun 1978, ia telah diberikan lirik baru untuk menggambarkan suasana perayaan dan dipersembahkan oleh Halil Chik dan Trio Manja dalam LP Selamat Hari Raya.

Galeri Khazanah (Pameran 2)

Seri Mersing

Komposer: Pak Lomak
Penyusun: Ahmad Muriz Che Rose

Lagu Melayu deli ini menjejaki semula kekayaan warisan Johor dalam bentuk muziknya yang paling tulen. Ia dipercayai digubah seawal tahun 1923 dan kemudiannya dipopularkan oleh Ratu Lagu Dato’ Sharifah Aini (daripada album kelimanya yang berjudul diri sendiri pada tahun 1976) dan kemudiannya oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza (daripada album kedua 1997, Siti Nurhaliza II).