Noor Mahnun Mohamed

(b. Kelantan, 1964)

Noor Mahnun Mohamed ataupun dikenali sebagai Anum, memainkan peranan di persada seni Malaysia sebagai seorang pelukis, kurator, penulis dan pendidik. Dilahirkan pada tahun 1964 di Kelantan, beliau menerima sarjana dalam seni halus dari Hochschule für Bildende Künste, Braunschweig, Jerman, pada tahun 1996.

Selepas kembali ke tanah air pada penghujung tahun 1997, Noor Mahnun memulakan kerjaya serba bolehnya dalam bidang seni sebagai pereka grafik. Pada tahun 1998, beliau mengadakan pameran solo pertamanya di Malaysia dan sering mengambil bahagian dalam pameran kumpulan. Pada tahun berikutnya, beliau bersyarah di beberapa institusi tempatan mengenai teori seni sehingga tahun 2022.

Dari tahun 2000 hingga 2001, Noor Mahnun adalah seorang “artist-in-residence” di Rimbun Dahan di Kuang, Selangor. Beliau mengakhiri program dengan pameran lukisan yang dihasilkan dan diilhamkan oleh lokasi tersebut. Dari tahun 2006 hingga 2012, beliau bekerja sebagai pengurus seni di Rimbun Dahan.

Kementerian Luar Itali kemudian menawarkan beliau biasiswa kerajaan untuk mengikuti kursus seni cetak di Il Bisonte, Florence dari tahun 2002 hingga 2003. Selepas menamatkan kursus tersebut, Noor Mahnun kembali ke Kuala Lumpur dan menceburi bidang seni sebagai kurator di Valentine Willie Fine Art dari tahun 2003 hingga 2005. Semasa berkhidmat di sana, beliau telah menganjurkan 10 pameran oleh artis kontemporari Malaysia dan Asia Tenggara dan menulis untuk katalog pameran-pameran tersebut.

Pameran solonya termasuk Racun dan Penawar (2021) di Rumah Lukis, Kuala Lumpur; Disco Lombok Still Life oleh Noor Mahnun (2017) di The Edge Galerie, Kuala Lumpur; dan banyak lagi.

Gambar Ihsan: Studio DL

Lihat di Galeri Maya