Mustapa Ibrahim

(b. Perak, 1946)

Dilahirkan pada tahun 1946 di Bagan Datok, Perak, Mustapa Ibrahim bersekolah di Gombak Lane School dan mengikuti kelas malam di Maxwell Secondary School, Kuala Lumpur. Sebagai salah seorang pelukis yang terlibat secara langsung dalam penubuhan kolektif Anak Alam pada tahun 1974, beliau masih setia dengan cara dan pandangan hidup sederhana yang menjadi pegangan anak muda Anak Alam pada zaman awal itu.

Pada penghujung 1960-an, Mustapa Ibrahim menghadiri kelas melukis anjuran Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) di Studio Taman Budaya, Jalan Ampang di Kuala Lumpur. Beliau menggambarkan potret dan landskap sebagai pelukis yang bercita-cita tinggi dan kemudian mengembangkan gayanya dalam genre abstrak. Beliau percaya bahawa lukisan tidak hanya terhad kepada dunia nyata, tetapi juga dari intipati atau semangat keadaan alam itu sendiri.

Mustapa mencipta karya seni dalam bentuk bersiri. Sebagai contoh, karyanya pada tahun 1970-an dikenali sebagai Siri Cinta. Melalui karya beliau, kita dapat melihat dua gaya penyampaian beliau iaitu melalui penumpuan kepada unsur organik yang masih jelas bentuknya dan kedua terus kepada persembahan bentuk organik-organik dan biomorfik yang lebih halus. Melalui tajuk yang membayangkan puisi alam, beliau menggambarkan perasaan introspektif kepada persoalan yang jarang mendapat jawapan.

Lihat di Galeri Maya