Fatimah Chik

(b. Johor, 1947-2023)

Dilahirkan di Pontian, Johor pada tahun 1947, Almarhumah Fatimah Chik adalah seorang artis terkenal yang kepakaran teknikalnya sebagai “resist artist” merangkumi batik, Shibori, cetakan skrin, dan seni tekstil. Berasal daripada keluarga yang berkebolehan, ibunya mahir dalam seni menyulam dan menjahit pakaian tradisional Malaysia dan datuknya pula seorang pengukir kayu yang membina rumah tanpa paku. Pada tahun 1971, beliau lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Tekstil dari Institut Teknologi MARA. Beliau berkahwin dengan Redza Piyadasa, bekas pensyarah sejarah seninya dan menemaninya ke Hawaii pada tahun 1974 di mana Fatimah mula meneliti dan menyelidik tekstil dan tradisi motif Asia Tenggara yang hadir dalam karyanya. Apabila kembali ke Malaysia pada tahun 1977, reka bentuk motifnya dipindahkan ke blok batik dan beliau memulakan peralihan daripada batik sebagai kraf kepada batik sebagai seni halus pada 1980-an. Dari tahun 1990-an, beliau mula menghasilkan karya seni bersiri besar yang menggabungkan kolaj batik. Beliau juga merupakan seorang pendidik seni di Institut Teknologi MARA dan kemudiannya di Malaysian Institute of Art. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai juru panel bagi pertandingan batik Piala Seri Endon. Pada bulan April 2023, beliau telah mengambil bahagian dalam pameran kumpulan wanita yang terakhir bertajuk “Hawwa”, anjuran Galeri Puteh di Kuala Lumpur, di mana beliau mempamerkan beberapa siri ikonik beliau, seperti “Gunungan: Collage” dan “Alunan: Shibori”. Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 26 Mei 2023.

Lihat di Galeri Maya