Dato’ Hoessein Enas

(b. Indonesia, 1924 - d. Kuala Lumpur, 1995)

Dato’ Hoessein Enas dilahirkan di Bogor, Indonesia pada tahun 1924. Beliau tiba di Tanah Melayu dari Indonesia pada tahun 1947 dan menjadi warganegara pada tahun 1956. Beliau merupakan ahli pengasas Angkatan Pelukis Semenanjung pada tahun 1956, yang merupakan persatuan penting dalam perkembangan aktiviti kesenian di negara sekitar era Kemerdekaan. Ketokohannya sebagai pelukis potret dalam gaya realis akademik semakin menyerlah berikutan kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957. Di pelbagai peringkat hidupnya, beliau berkhidmat sebagai pegawai kerajaan iaitu pelukis penyelidikan di Jabatan Muzium dan Jabatan Orang Asli Malaya dan kemudiannya sebagai Ketua Grafik dan Reka Bentuk dengan perkhidmatan televisyen siaran awam nasional Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baru ditubuhkan. Pada tahun 1963, Kumpulan Syarikat Shell di Malaysia mengkomisenkan beliau untuk mengembara ke seluruh negara untuk menghasilkan siri lukisan bagi memperingati pembentukan Malaysia. Pada tahun 1990, Hoessein Enas telah dianugerahkan status ‘Pelukis Potret Diraja’ oleh DYMM Sultan Selangor. Sebagai perintis dalam lukisan potret, beliau dianggap sebagai “Bapa Lukisan Potret Malaysia”.

Lihat di Galeri Maya