Anuar Rashid

(b. Kedah, 1958)

Anuar Rashid dilahirkan di Langgar, Alor Setar, Kedah dan bersekolah menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1975, beliau telah melanjutkan pengajian untuk pra-diploma dalam bidang seni dan reka bentuk di Institut Teknologi MARA di Dungun, Terengganu. Beliau menyertai edisi ketiga Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1976. Pada tahun 1978, beliau mengadakan pameran solo pertamanya di Muzium Negeri Pulau Pinang. Beliau juga aktif menyertai pameran seni berkumpulan anjuran kolektif Anak Alam apabila menyertai koloni seni tersebut pada tahun 1978. Dikenali sebagai seorang radikal dan “maverick”, Anuar Rashid diiktiraf sebagai seorang artis berbakat apabila beliau menghasilkan karya Kelahiran Inderaputera (1978). Datuk Syed Ahmad Jamal, ketika itu pengarah Balai Seni Lukis Negara, mengisytiharkan beliau sebagai “sensasi baru persada seni Malaysia, mungkin seorang bintang yang paling terang”.

Lihat di Galeri Maya