Julai - Disember 2022

Sejenak Bersama

Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah

Mengenai
Pameran
Seni Maya

Bertajuk Sejenak Masa Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah, pameran seni maya yang julung kali diadakan ini menampilkan 57 karya seni oleh 29 artis-artis senior, di pertengahan kerjaya dan muda Malaysia, termasuk Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Ibrahim Hussein, Khalil Ibrahim, Latiff Mohidin, Dato’ Sharifah Fatimah, Yusof Ghani, Ahmad Zakii Anwar, Jalaini Abu Hassan, Anurendra Jegadeva, Kow Leong Kiang, Yee I-Lann, Fauzul Yusri, Liew Kung Yu, Haffendi Anuar dan banyak lagi.

Pameran ini merakamkan kisah-kisah Malaysia melalui perjalanan masa, daripada representasi bermakna karya seni yang dipilih kepada perjalanan hidup artis tersebut sendiri. Naratif Malaysia ini dicontohi dalam karya seni oleh Latiff Mohidin (1960); Mohamed Zain Idris (1970); Ahmad Khalid Yusof (1980); Dato’ Chuah Thean Teng (1991); >Kok Yew Puah (1993), dan banyak lagi.

Perjalanan bermula apabila beberapa artis senior ini telah diberikan biasiswa untuk menerima pendidikan tinggi di luar negara pada tahun 1950-an, dan sekembalinya mereka menggunakan pengetahuan mereka sebagai pendidik di tanah air yang baru merdeka.

Sebilangan artis ini adalah penyokong awal untuk kemajuan seni Malaysia; sebahagian daripada mereka sama ada telah menubuhkan atau menyertai persatuan seni, menjadi tokoh penting dalam institusi dan galeri seni, dan menjadi duta dan penggalak seni Malaysia di persada seni global.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Khazanah Nasional juga telah memulakan program pembangunan kapasiti untuk meningkatkan kemahiran bakat muda Malaysia dalam disiplin terpilih melalui Program Residensi Khazanah seperti Khazanah Press Fellowship, Khazanah Art Residency, Khazanah Design Residency dan Khazanah Public Service Residency.

Koleksi seni kontemporari Khazanah termasuk karya-karya Haffendi Anuar – peserta Kohort 2 Khazanah Nasional Artist Residency Programme pada tahun 2018. Sejak menamatkan program tersebut, Haffendi Anuar telah meneruskan amalan seninya sepenuh masa dan kini berpangkalan di London, UK – sebuah teladan kisah kejayaan yang menyumbang kepada impak positif pengayaan bakat.

Dikurasi oleh perunding seni Malaysia Sarah Abu Bakar dan direka oleh firma seni bina Malaysia Fei Architect, dan difoto oleh Wesley Wong dari Giclee Art Sdn Bhd, Galeri Khazanah terdiri daripada lima ruang realiti maya bertema – Lobi; Rumah Tradisional; Peranakan; Pavilion dan Bilik Kaca.

Konsep reka bentuk tersebut berpaksikan dalam tema identiti nasional bagi melengkapkan pendekatan kuratorial asal iaitu untuk meraikan Malaysia.

Pengasas dan pengetua Fei Architect, Ar. Lam Shen Fei, yang mengambil bahagian dalam Khazanah Design Residency 2019, menyifatkan tujuan reka bentuk sebagai “…melihat semula seni bina, dalaman dan landskap untuk menggambarkan gaya seni bina Malaysia, sambil mengambil kira bahawa galeri dalam talian akan diakses oleh warga asing, ahli akademik, peminat seni dan pelajar. Gaya sedemikian adalah penting untuk mencipta naratif yang memberikan kesan semasa lawatan maya. Niat ini mengubah latar belakang ruang kosong putih di mana-mana galeri seni Barat.”

Iringan muzik adalah sebuah karya orkestra oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) berjudul Lenggang Mak Limah, gubahan Abu Kassim; dan susunan Ahmad Muriz Che Rose. Lagu ini pada asalnya dirakam oleh penyanyi Indonesia, Bing Slamet dan dipaparkan dalam LP Semalam di Malaysia 1960-an, sebuah album duet dengan Tan Sri P. Ramlee.

Projek ini juga adalah untuk mengenang ahli pasukan utama, Allahyarham Mohd Suhaimi Ahmad seorang penasihat seni independen dan kolektor seni yang telah pulang ke Rahmatullah pada bulan November 2021.